Berita Terkini

Transformasi Kad Matrik

SEKUMPULAN pelajar memegang Kad MySiswa yang diguna pakai bagi mempelbagaikan fungsi kad matrik pelajar seperti bantuan terus kepada akaun pelajar, kemudahan promosi serta transaksi cashless di kampus Universiti Malaya.

Penggunaan Kad MySiswa yang juga kad pintar pelbagai guna di semua Universiti Awam (UA) adalah inisiatif terbaik daripada kerajaan kepada pelajar serta transformasi secara menyeluruh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaras dengan perkembangan teknologi terkini.

Bermula dengan cetusan idea yang diusulkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 2020, KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyambut hasrat itu sebagai refleksi sentiasa peka serta memahami denyut nadi golongan mahasiswa.

Kad MySiswa adalah transformasi kad matrik pelajar sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.

Antaranya sebagai kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan, malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.

Bukan itu saja, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga dan rebat daripada pedagang terpilih, sama ada di dalam mahu pun di luar kampus.

Menariknya, setakat Mac 2024, lebih 100 pedagang dan 319 vendor baharu di sekitar lokaliti kampus UA yang menawarkan keistimewaan eksklusif, diskaun juga promosi kepada pemegang Kad MySiswa.

Rata-rata pelajar menyambut baik pelaksanaan Kad MySiswa selain menyifatkan inisiatif itu selaras dengan perkembangan teknologi terkini.

Perwakilan Eksekutif Akademi Pengajian Melayu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Universiti Malaya (UM), Muhd Firdaus Anuar, 23, berkata Kad MySiswa juga adalah salah satu dasar kerajaan untuk mewujudkan kemudahan kepada pelajar.

Katanya, walaupun kad ini kekal sebagai kad matrik tetapi ia ditambah baik dan menawarkan pelbagai fungsi yang secara tidak langsung memudahkan kehidupan pelajar.

“Mesin ATM yang terdapat di universiti adalah terhad dan memerlukan pelajar beratur panjang. Dengan Kad MySiswa ini, pelajar tidak perlu lagi menggunakan tunai dalam segala urusan, “katanya.

Bagi pelajar tahun dua Sarjana Muda Pendidikan Islam Pengajian Al-Quran UM, Siti Noor Fairuz M Fariddudin, 23, menerusinya, pelajar bebas bergerak dan membuat sebarang urusan di dalam dan luar kampus kerana semua maklumat boleh diakses menerusi Kad MySiswa ini.

Bukan ini sahaja, kad ini juga adalah kad promosi atau diskaun untuk makanan dan minuman, kesihatan dan penjagaan diri dan banyak lagi.

“Menariknya mengenai kad ini, pelajar tidak perlu membuat pemohonan sebaliknya Kad MySiswa ini akan diberikan secara automatik oleh pihak universiti semasa mendaftar.

“Kad MySiswa ini juga sangat menguntungkan pelajar dengan pelbagai tawaran dan promosi menarik termasuk diskaun semasa membeli buku di Pesta Buku, makanan dan minuman di restoran atau kafe yang mengambil bahagian dan banyak lagi,”katanya.

Bagi Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu, Megat Muhammad Daniel Azlinzal, 21, penggunaan Kad Mysiswa memberi kemudahan kepada pelajar kerana ia datang dengan akses kad debit RHB Islamic Bank Berhad.

Katanya, Kad MySiswa yang berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun dengan pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat daripada kedai terpilih secara tidak langsung membantu universiti ke arah kampus tanpa tunai seiring dengan peredaran zaman.

“Saya berharap diskaun, rebat dan promosi dari penggunaan Kad MySiswa ini diperluaskan lagi demi membantu kebajikan pelajar dalam aspek kos sara hidup yang kian meningkat.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua rakan untuk menggunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaiknya dan sentiasa menjaga Kad MySiwa daripada hilang,”katanya.

Sementara itu, Yang di-Pertua MPP Universiti Utara Malaysia, Syahril Sofian berkata penggunaan Kad MySiswa ini adalah inisiatif yang ditunggu-tunggu pelajar daripada pihak Kerajaan untuk membantu pelajar.

Katanya, sebenarnya Kad MySiswa ini bertindak sebagai One Tool For Everything kerana selain menjadi identiti pelajar, ia juga bertindak sebagai medium bagi memberikan manfaat seperti diskaun.

“Saya akui, pada masa kini terdapat banyak sektor swasta yang terbabit sama dalam memberikan promosi dan diskaun kepada pemegang Kad MySiswa.

“Namun, saya berpendapat supaya ada usaha daripada pihak kerajaan mahupun masyarakat yang lebih jitu dalam memperbanyakkan lagi sektor swasta yang membantu dalam memenuhi keperluan asas pelajar sekali gus turut serta dalam perkara ini,” katanya.

Pada masa ini, Kad MySiswa diwajibkan penggunaannya di Universiti Awam bertujuan penyeragaman identiti mahasiswa.

Bagaimanapun, KPT sedang meneliti kebolehlaksanaan inisiatif ini untuk diperluaskan kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti seterusnya kepada mahasiswa di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Exco Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Merlimau Melaka, Muhammad Nabil Hazli berkata cadangan untuk menggunakan Kad MySiswa di Politeknik, Kolej Komuniti dan IPTS adalah sangat relevan.

Katanya selain mempunyai faedah yang banyak ia juga dapat menunjukan politeknik dan kolej komuniti sentiasa mengambil insiatif kemajuan setaraf Universiti Awam.

“Selain berfungsi sebagai kad matrik, kad ini juga memudahkan dan menguntungkan pelajar kerana mereka akan memperoleh faedah pengajian seperti potongan harga apabila mahu untuk membeli sesuatu,” katanya.

 

Sumber : Harian Metro Online

× Boleh saya bantu?