Latest News

Pulau Pinang Johan Kempen Cashless Boleh 5.0, Catat 99.4 Peratus Transaksi Tanpa Tunai

Kredit: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) — Pulau Pinang muncul johan Anugerah Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital/Nirtunai Cemerlang Program Kempen Cashless Boleh 5.0 peringkat kebangsaan selepas merekodkan kadar transaksi pembayaran nirtunai atau tanpa tunai sebanyak 99.40 peratus dalam sektor awam.

Pengiktirafan itu dimaklumkan sempena kunjungan hormat delegasi Kementerian Kewangan (MOF) dan Payments Network Malaysia Bhd (PayNet) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Komtar, di sini hari ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan memaklumkan Pulau Pinang berjaya mengatasi Kedah, Selangor dan Melaka untuk muncul johan program itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negeri peneraju transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Kejayaan ini mencerminkan sinergi kukuh antara MOF, PayNet dan kerajaan negeri dalam memperluas penggunaan pembayaran nirtunai selain didorong oleh usaha berterusan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) selaku penyelaras utama penyertaan kerajaan negeri dalam program ini.

“Kerajaan negeri melalui BKT berjaya menggerakkan pelbagai inisiatif pemerkasaan pembayaran nirtunai, memantau prestasi pelaksanaan secara berterusan serta memastikan sasaran kempen dicapai dengan cemerlang,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, MOF dan PayNet sejak 2022 juga disifatkan sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem pembayaran digital di Pulau Pinang.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan kerjasama itu membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam selain menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan agensi kerajaan negeri.

Terdahulu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK) MOF Ghazali Hizam yang mengetuai delegasi itu menyampaikan hadiah kemenangan dan sijil penghargaan Program Kempen Cashless Boleh 5.0 kepada Zulkifli.

Majlis turut disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan) Datuk Mohamed Abdul Rahman, Bendahari Negeri Mazni Aryanti Mohamed Amin dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Muhamad Husni Mahmud.

Sumber :Bernama