KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan program ‘Mahasiswa Sejahtera’ dalam usaha memastikan mahasiswa dan mahasiswi dalam golongan B40 di negeri itu tidak berlapar.
Ia merupakan kesinambungan daripada program Tuisyen Cikgu Saarani yang bertujuan membantu golongan itu berjaya dalam kehidupan dengan menggelakkan kemiskinan dijadikan alasan sebagai penghalang untuk berjaya.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, program Mahasiswa Sejahtera disusun dan dirancang bagi membela kebajikan anak Perak.
Katanya, program tersebut akan menyalurkan RM150 dalam bentuk e-walet kepada mahasiswa dan mahasiswi dari kumpulan asnaf dan keluarga miskin untuk digunakan membeli makanan dan barangan keperluan pelajar di kiosk yang dikendalikan oleh graduan atau usahawan di universiti dikenal pasti.
“Kebetulan, saya menjadi Menteri Besar ketika gelombang kedua Covid-19 sedang memuncak, antara perkara pertama yang lakukan pada waktu itu ialah mewujudkan program Tuisyen Cikgu Saarani.
“Bukan itu sahaja sebaliknya juga sediakan makanan percuma kepada calon-calon peperiksaan, kita berikan telefon bimbit percuma kepada anak-anak keluarga susah. Kita wujudkan studio-studio untuk memudahkan guru membuat kelas secara online.
“Alhamdulillah, dengan komitmen jitu guru, pihak sekolah dan ibu bapa, inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani telah membuahkan hasil dengan prestasi Gred Purata Nasional (GPN) peperiksaan SPM di Perak pada tahun 2020 menunjukkan peningkatan iaitu pada aras 4.88 berbanding 4.91 yang direkodkan pada tahun 2019. Ia merupakan catatan GPN yang terbaik dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis Pelancaran Mahasiswa Sejahtera di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, hari ini.
Menurut Saarani, walaupun negara telah memasuki fasa pemulihan namun impak Covid-19 masih dirasai khususnya golongan B40.
“Saya tahu, ada siswa kita yang tidak cukup makan kerana dibelenggu kemiskinan malah ada berdepan kesusahan walaupun untuk membeli tuala wanita.
“Atas kesedaran itu, saya bersetuju supaya diwujudkan program Mahasiswa Sejahtera ini sebagai lanjutan kepada program Tuisyen Cikgu Saarani yang kita laksanakan di sekolah-sekolah,” ujarnya.
Kata Shaarani, program Mahasiswa Sejahtera mengetengahkan yang antara lain membantu mahasiswa dari golongan B40 dan asnaf di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perak mendapatkan makanan yang berkhasiat dan mampu milik.
Katanya, program tersebut juga mampu melahirkan usahawan yang berdaya tahan daripada golongan belia dan graduan selain menjana peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan makanan dan minuman berlandaskan platform digital.
“Ini sekaligus juga akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi, modal insan dan jaminan sekuriti makanan di Perak.
“Program ini juga melibatkan kolaborasi secara menyeluruh antara Kerajaan Negeri dengan pelbagai pihak termasuk, universiti, agensi zakat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, penyedia aplikasi usahawan digital dan sektor korporat,” jelasnya.
Sementara itu, Shaarani memberitahu, satu tabung amanah akan diwujudkan bagi mengumpul dana daripada kerajaan negeri dan universiti selain menerima sumbangan pelbagai pihak.
“Melalui program ini juga kita akan menyediakan tapak dan kiosk perniagaan serta latihan keusahawanan kepada mahasiswa. Para pelajar kita boleh gunakan e-walet mereka untuk beli makanan serta keperluan.
“Buat permulaan, program Mahasiswa Sejahtera ini akan dilaksanakan projek perintis di USAS dan insya-Allah dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, kita perluaskan di universiti-universiti lain di Perak,” jelasnya.
Sumber : Malaysia Gazette