Berita Terkini

MDX 2023 Terus Perkasa Ekonomi Digital Negara

MAHADHIR (tiga dari kanan) bersama Anwar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) melakukan gimik pelancaran MDX di MITEC baru-baru ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital negara terus diperkasakan me­lalui penganjuran Malaysia Digital Expo (MDX 2023) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts Mahadhir Aziz berkata, acara kemuncak MDX 2023 me­nyaksikan lebih 4,000 pendaftaran diterima, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama, perniagaan dan pelaburan.

Menurut beliau, acara yang berlangsung selama tiga hari itu juga menyaksikan beberapa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), perbincangan serta idea-idea baharu dalam pendigitalan.

“Kemajuan ekonomi digital di Malaysia adalah amat besar, stan­dard yang dicapai kini hampir mencapai sasaran negara iaitu sekurang-kurangnya 25 peratus.

“Bagaimanapun, perkemba­ngan ketika ini amat memberangsangkan dari segi kebolehan untuk bersaing dan juga kemampuan negara untuk menarik pelaburan dari luar negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mahadhir berkata, MDX 2023 adalah acara penghujung yang me­rangkumi pelbagai anjuran program anjuran bersama MDEC, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sepanjang enam ming­gu di beberapa buah negeri.

“Semua aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu sebelum ini telah dikumpul termasuk penjajaran antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mana kita panggil Malaysia Digital State Summit.

“Untuk ekspo yang berlangsung selama tiga hari ini pula, kita terima lebih daripada 4,000 pendaftaran yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan penduduk dari seluruh negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahadhir memaklumkan, Perdana Menteri turut melancarkan Teknologi Pertanian Digital (AgTech) yang boleh dimanfaatkan petani di seluruh negara sekali gus memajukan industri pertanian negara.

“Pelancaran itu adalah sebaha­gian daripada peruntukan Belanjawan 2023 yang mana kira-kira RM13 juta telah diperuntukkan untuk AgTech.

“Melalui program itu, sebanyak 400 kawasan di Malaysia menggunakan sistem yang akan diguna pakai oleh petani-petani kita, agar mereka dapat meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya kepada RM2,000 sebulan.

“Dari aspek kerajaan, kita beri insentif adaptasi teknologi dan pendigitalan kepada sektor pertanian yang akan memanfaat kira-kira 50,000 petani di seluruh negara” jelasnya.

Katanya, MDEC telah bekerjasama dengan lebih kurang tiga buah syarikat untuk menjalankan program berkenaan.

“Justeru diharapkan apabila sistem berkenaan dikembangkan maka lebih banyak lagi syarikat dapat bekerjasama dengan MDEC untuk menjalankan program sedemikian.

“MDEC adalah pengesah teknologi untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, jadi kita akan lihat teknologi-teknologi yang boleh dibawa ma­suk atau diadaptasi oleh industri pertanian dan dapat dikembangkan lagi dalam sektor penternakan dan perikanan,” tambahnya.

Ditanya mengenai jangkaan serta sasaran penganjuran MDX tahun ini Mahadhir berkata, pihaknya berharap agar lebih ramai pihak mengetahui kemudahan serta pencapaian yang dikecapi dalam industri tersebut.

“Kami menjangkakan lebih ba­nyak perkara yang orang ramai tidak tahu, sekarang mereka tahu. Sebagai contoh sebelum ini kita banyak bercakap mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) tetapi ramai tidak tahu bagaimana mahu mulakan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar MDX dapat me­ngumpul peserta secara global pada penganjuran akan datang.

“Penganjuran seperti ini akan dikembangkan lagi ekoran Malaysia dilantik menjadi Pengerusi ASEAN 2025, jadi kita sasarkan pada tahun berkenaan, ekspo ini akan dibesarkan lagi untuk membawa lebih ramai pemain industri serantau terutama dari ASEAN menyertainya,” kata Mahadhir.

Sumber : Kosmo Online

× Boleh saya bantu?