Berita Terkini

FAMA sasar sejuta transaksi tanpa tunai di outlet seluruh negara

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sejuta transaksi tanpa tunai dilakukan di semua outlet pemasarannya di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri, berkata pihaknya akan mengembangkan pelaksanaan projek pemula bayaran secara dalam talian yang dilaksanakan bersama Paynet Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi mencapai sasaran itu.

Beliau berkata, projek pemula itu berjaya mencatat 202,304 transaksi dengan nilai keseluruhan RM6 juta di 18 outlet pemasaran FAMA dalam tempoh tiga bulan dilaksanakan pada Oktober hingga Disember tahun lalu.

“Melalui kerjasama ini, PayNet akan menyediakan sokongan teknikal untuk pelaksanaan program pemasaran, manakala FAMA menerusi rangkaian pasaran di seluruh negara menyalurkan maklumat berkaitan data transaksi melalui semua saluran pembayaran tanpa tunai daripada usahawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rashid berkata, usahawan yang menyertai program itu dibekalkan beberapa bahan promosi bagi menarik perhatian pengunjung menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti gegantung atau papan tanda, selain hebahan program secara dalam dan luar talian.

Beliau berkata, semua usahawan FAMA perlu menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat digital dengan memperbanyakkan dan memberikan kesedaran kepada pengguna mengenai pembelian tanpa tunai.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan 5,000 Jualan Agro MADANI dilaksanakan tahun ini.

“Pelaksanaan ini dianggar membabitkan 28,600 usahawan dan memanfaatkan 7.2 juta isi rumah dengan nilai jualan sebanyak RM57.5 juta,” katanya. – BERNAMA

 

Sumber : Berita Harian Online

× Boleh saya bantu?