Digital Perak Percepat Transformasi Pendigitalan PKS
IPOH: Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak), sebuah agensi yang menerajui pembangunan ekonomi digital buat negeri Perak, menyasarkan 80 peratus sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di negeri ini melaksanakan pendigitalan dalam perniagaan mereka bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata, sasaran transformasi pendigitalan perniagaan PKS merupakan usaha berterusan yang dijayakan bersama beberapa agensi kerajaan negeri seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP) serta agensi kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, penerimaan dalam kalangan usahawan PKS di negeri ini ke arah pendigitalan masih perlahan dan banyak usaha perlu dilakukan secara bersama termasuk dengan institusi kewangan untuk promosi ke arah pendigitalan, bermula dengan pembayaran digital dan atas talian.
“Mereka kena terima transformasi pendigitalan ini, kerana tiada pilihan lain jika mereka ingin mengembangkan perniagaan mereka. Namun begitu, tidak dinafikan ada segelintirnya khususnya generasi lama lebih cenderung menggunakan kaedah lama, dan kita perlu bantu juga mereka supaya tidak ketinggalan dalam gelombang digitalisasi” katanya.
Mohamad Suhaimi berkata, tahap kesedaran perlunya transformasi digital sememangnya disedari oleh usahawan PKS ini dan cabarannya ialah untuk mempercepatkan transformasi dan adaptasi pendigitalan melalui peningkatan kebolehan, meminimumkan risiko dan memudahkan akses kepada platform dan perkhidmatan.
Menurutnya, sejajar dengan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030 kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohmad, proses adaptasi pendigitalan PKS perlu dipercepatkan kerana kesedaran dalam kalangan usahawan PKS sudah ada.