Keratan Akhbar

Kiosk Mahasiswa Perak Sejahtera Bantu Pelajar B40

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismail Safian (kiri) dan Kotak Global Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Fatima Chan Abdullah (kanan).

IPOH, 16 April (Bernama) — Lima unit kios jualan makanan, Mahasiswa Perak Sejahtera akan diwujudkan Kerajaan Negeri Perak di institusi pengajian tinggi terpilih, menyajikan pelbagai pilihan makanan dengan harga rendah dan berkhasiat untuk pelajar B40 bermula Jun depan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kotak Global Sdn Bhd (KGSB) sebagai pihak bertanggungjawab melaksanakan projek perintis yang akan dimulakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar. 

“Selepas berjaya dilaksanakan, ia akan diperluaskan ke universiti lain di negeri ini.

Program tersebut juga mampu melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan graduan selain menjana peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan makanan dan minuman berlandaskan platform digital,”katanya pada sidang media pada program Memorandum Perjanjian (MoA) antara YBUDR dan KGSBdi sini hari ini.

Saarani berkata langkah itu juga bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembayaran tanpa tunai dengan satu platform e-dompet akan diwujudkan untuk diguna pakai oleh pelajar dan  graduan di kiosk terbabit. 

Pada majlis itu, Saarani menyaksikan pertukaran MoA antara Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR Datuk Ismail Safian dengan Ketua Pegawai Eksekutif KGSB Fatima Chan Abdullah.

Sumber : Bernama

× Boleh saya bantu?