IPOH: Lima unit kios jualan makanan, Mahasiswa Perak Sejahtera akan diwujudkan Kerajaan Negeri Perak di institusi pengajian tinggi terpilih, menyajikan pelbagai pilihan makanan dengan harga rendah dan berkhasiat untuk pelajar B40, bermula Jun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan Kotak Global Sdn Bhd sebagai pihak bertanggungjawab melaksanakan projek perintis yang akan dimulakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.
“Selepas berjaya dilaksanakan, program ini akan diperluas ke universiti lain di negeri ini.
Program itu juga mampu melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan graduan, selain menjana peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan makanan dan minuman berlandaskan platform digital,” katanya pada sidang media pada program Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan Kotak Global Sdn Bhd, di sini hari ini.
Saarani berkata, langkah itu juga bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembayaran tanpa tunai dengan satu platform e-dompet akan diwujudkan untuk diguna pakai oleh pelajar dan graduan di kios terbabit.
Pada majlis itu, Saarani menyaksikan pertukaran MoA di antara Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Datuk Ismail Safian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kotak Global Sdn Bhd, Fatima Chan Abdullah.
Sumber : Astro Awani