Berita Terkini

eMADANI Tidak Boleh Ditebus Tunai, Waspada 'Scammer' - MOF

Program eMADANI dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
 
Dalam satu kenyataan, MOF berkata, ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit mereka.
 
“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
 
“Pihak kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” katanya hari ini.
 
MOF berkata, Program eMADANI dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.
 
Oleh itu, jelasnya, kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.
“la hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go Wallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit/perniagaan di seluruh negara.
 
Pendaftaran program MADANI dibuka mulai hari ini hingga 20 Feb 2024 dan akan memanfaatkan seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40.

Sumber : Astro Awani Online

× Boleh saya bantu?