Berita Terkini

Ekonomi Digital: Diunjur Sumbang 24.4% Kepada KDNK 2023

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Petaling Jaya: Ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 24.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 dan meningkat kepada 25.5 peratus tahun depan, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom).

Timbalan Pengerusi Alex Liew berkata, momentum itu akan kekal kukuh dalam persekitaran ekonomi negara yang diramalkan berkembang 4.5 peratus pada 2024.

“Peningkatan ekonomi digital yang rancak, walaupun di tengah-tengah ekonomi global yang tidak menentu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak penting struktur ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai Pasaran Kerja Digital Malaysia dan Tinjauan Ekonomi 2023/2024 di sini.

Dari segi pekerjaan, beliau berkata, pasaran kerja digital menyaksikan pertumbuhan dua angka gaji pekerjaan berkaitan teknologi, mencerminkan ekonomi yang memanfaatkan teknologi dengan bijak untuk meningkatkan kecekapan.

Penasihat dan pengerusi penyelidikan Pikom Woon Tai Hai berkata, sektor teknologi mengalami pertumbuhan gaji tahun ke tahun yang ketara sebanyak 13.9 peratus pada 2023, berbeza dengan pertumbuhan julat dua peratus dalam dua tahun sebelumnya.

“Pikom mengunjurkan pertumbuhan gaji 4.13 peratus bagi 2024 dalam sektor itu dan purata kadar pertumbuhan tahunan 6.45 peratus sepanjang dekad akan datang,” katanya.

Woon mengaitkan pertumbuhan itu dengan persaingan yang semakin sengit untuk mendapatkan tenaga kerja yang berbakat, penghantaran pulang profesional mahir selepas pandemik, ringgit yang semakin lemah, transformasi digital yang dipercepatkan dalam sektor swasta dan dasar kerajaan yang berpandangan jauh ke hadapan.

Sumber : Harian Metro Online

× Boleh saya bantu?