SHAH ALAM: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beralih kepada mod bayaran tanpa tunai sepenuhnya melibatkan semua transaksi pembelian tiket bermula 1 Januari 2025 di sektor Lembah Klang, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya kini dalam fasa peralihan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Dalam tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini, kaunter-kaunter tiket masih menerima transaksi tunai. Pelbagai medium dan hebahan juga dilaksana bagi menguar-uarkan kempen.
“Antaranya, pemakluman notis dan video melalui media sosial rasmi KTMB, edaran bahan promosi di stesen, pengumuman di dalam tren serta kerjasama dengan bank tempatan untuk membuka reruai pendaftaran pembukaan akaun bagi mereka yang belum memiliki kad debit.
“Selain itu, kakitangan di stesen juga akan membantu pelanggan khususnya untuk mendaftar aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohd Rani Hisham, sebanyak 500 mata ‘railpoints’ percuma bagi 1,000 pendaftaran terawal KITS turut diberi bagi menggalakkan orang ramai menyokong kempen tersebut.
Menurutnya, stesen-stesen KTMB terutamanya di Lembah Klang dan Utara kini telah dilengkapi dengan mesin kios bagi pembelian tiket komuter dan kereta api elektrik (ETS).
“Stesen-stesen utama di Pantai Timur juga mempunyai mesin kios untuk membuat pembelian tiket Ekspres Rakyat Timuran dan Shuttle Timuran.
“Bagi stesen di sektor Selatan selain dari Stesen Johor Bahru Sentral dan Kempas Baru, mesin kios hanya akan beroperasi setelah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru siap sepenuhnya.
“Tetapi, para pengguna masih boleh membuat pembelian tiket melalui medium sedia ada seperti KITS atau laman sesawang www.ktmb.com.my,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Mohd Rani Hisham, sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan KTM Komuter telah diperkenalkan dan ia menyediakan pelbagai mod pembayaran yang praktikal untuk semua stesen di Lembah Klang dan Utara.
Beliau berkata, melalui kaedah ini, pengalaman pengguna dapat dipertingkatkan kerana dapat membuat perjalanan dengan menggunakan kad debit dan kredit serta mod bercirikan komunikasi medan berhampiran (NFC).
“Statistik menunjukkan 82 peratus penumpang menggunakan mod bayaran atas talian bagi perkhidmatan ETS dan Shuttle Tebrau melalui KITS, manakala 71 peratus menunjukkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Utara.
“Melalui KITS juga, KTMB kini mempunyai lebih tiga juta akaun yang berdaftar bagi pembelian tiket ETS, KTM Intercity, Shuttle Tebrau dan KTM Komuter,” katanya lagi.