LANGKAWI: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah melancarkan aplikasi terbaharu MY TouristPay untuk mengantarabangsakan perniagaan tempatan menerusi ekonomi digital.
Pelancaran ini sekali gus dapat memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memudahcara kaedah pembayaran pelancong dengan lebih pantas dan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, inovasi ini memfokuskan pembangunan usahawan tempatan dalam menggalakkan penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai.
Ujarnya lagi, tujuan pelancaran juga adalah untuk menghubungkan antara peniaga dan pelancong antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia, khususnya di Pulau Langkawi.
“Di sekitar Malaysia, terdapat 1.9 juta peniaga menggunakan kemudahan pembayaran melalui DuitNow QR.”Justeru, sebagai aplikasi pembayaran tanpa tunai pelancong pertama di dunia, ia membolehkan pelancong dari seluruh dunia menikmati kemudahan transaksi tanpa sempadan melalui imbasan kod QR DuitNow seperti penduduk tempatan,” tambahnya.
Di samping itu, aplikasi MY TouristPay yang disokong Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merupakan fasa kedua di bawah program PayNet Cambah yang melibatkan aspek alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG).
Menurut Pengarah Kanan, Strategi & ESG mereka, Azleena Idris, “fasa pertama sebelum ini melibatkan kerjasama dengan Suri Lifestyle yang difokuskan untuk membantu ibu-ibu daripada komuniti B40 dan meningkatkan kemampuan e-dagang mereka.”
“Fasa kedua pula menyasarkan untuk memperkasa komuniti lestari dengan karyawan tempatan di Pulau Langkawi setaraf antarabangsa dengan digitalisasi perniagaan,” jelasnya.
Antara karyawan tersebut adalah Akuart Woodcarvings, Datai Valley, Crystal Langkawi dan Ilham Ceramics.
Kedua-dua Farhan dan Azleena ditemui pada sidang akhbar selepas pelancaran aplikasi tersebut di Jalan Pantai Chenang, Pulau Langkawi, pada Isnin.