Kuala Lumpur: Sejumlah tujuh daripada 10 pengguna Malaysia kini secara aktif menggunakan sistem pembayaran kad tanpa sentuh sebagai sebahagian daripada usaha ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai, kata peneraju global dalam pembayaran digital, Visa Inc.
Menurut Kajian Sikap Pembayaran Pengguna (CPA) Visa 2022, lebih 90 peratus rakyat Malaysia telah biasa dengan sistem pembayaran tanpa sentuh, dengan hampir 70 peratus daripada mereka menggunakannya, peningkatan daripada 56 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Kategori teratas yang dibelanjakan rakyat Malaysia untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh termasuk pasar raya (53 peratus), kedai runcit (46 peratus) dan restoran (44 peratus).
Berdasarkan kajian itu, pengguna Malaysia juga menunjukkan bahawa pembayaran tanpa sentuh adalah kaedah pembayaran yang paling digemari mereka untuk membayar barangan runcit di pasar raya, membeli-belah dan membuat pembelian untuk hiburan.
Pengurus negara Visa untuk Malaysia Ng Kong Boon menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi salah satu pasaran pembayaran tanpa sentuh yang termaju di Asia Pasifik, dengan lapan daripada 10 transaksi Visa adalah pembayaran tanpa sentuh.
“Berbanding dengan 2019, hanya tiga daripada 10 transaksi Visa yang dibuat di negara ini adalah pembayaran tanpa sentuh.
“Kami berbangga untuk berkongsi bahawa pembayaran tanpa sentuh telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya apabila kami membandingkan pertumbuhannya sejak pandemik,” katanya kepada Bernama.
Menurut Ng, Visa telah bekerjasama dengan rakan peniaga untuk meluaskan penerimaan pembayaran tanpa sentuh merentas kategori perbelanjaan harian di Malaysia, serta dengan pengeluar untuk mendidik pengguna tentang faedah pembayaran tanpa sentuh dan hasilnya sangat memberansangkan.
“Rakan niaga pembayaran mudah alih kami yang melancarkan pembayaran tanpa sentuh mudah alih di Malaysia juga telah menyokong pertumbuhan penggunaan ini.
“Pengguna menghargai kemudahan untuk mengetik dan membayar menggunakan peranti mudah alih mereka dan menerimanya sebagai cara yang selamat untuk membayar memandangkan setiap data transaksi dikekalkan tanpa menjejaskan keselamatannya,” kata Ng.
Kajian CPA Visa 2022, yang dijalankan ke atas 1,000 rakyat Malaysia berumur 18 hingga 65 tahun adalah sebahagian daripada projek penyelidikan serantau yang dijalankan di Asia Tenggara ke atas 6,550 pengguna di tujuh pasaran.
Kajian itu dijalankan oleh CLEAR bagi pihak Visa merentasi tujuh negara Asia Tenggara, iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Ia mendapati bahawa rakyat Malaysia kini lebih memilih transaksi tanpa tunai, memandangkan pembayaran menggunakan kad telah mengatasi penggunaan tunai di negara ini terutamanya sejak pandemik.
Majoriti rakyat Malaysia atau 92 peratus responden menunjukkan bahawa mereka telah menggunakan pembayaran kad kredit atau debit.
Di samping itu, lebih daripada tiga daripada empat pelanggan tempatan mencuba untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai dengan 67 peratus pengguna di negara ini mencuba menggunakannya selama sekurang-kurangnya beberapa hari.
“Hampir 50 peratus pengguna Malaysia berkata mereka membawa kurang wang tunai dalam dompet mereka berbanding sebelum ini.
“Sebab utama untuk membawa kurang wang tunai termasuk menggunakan lebih banyak kad tanpa sentuh atau pembayaran mudah alih, lebih banyak tempat menggunakan pembayaran tanpa tunai dan kerisauan membawa wang tunai kerana ia mungkin hilang atau dicuri,” menurut laporan itu.
Penggunaan pembayaran tanpa tunai telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun dengan penggunaan yang tinggi terutamanya untuk kad tanpa sentuh, pembayaran QR atau pembayaran dalam talian dan dalam aplikasi.
Walaupun berlaku pertumbuhan pembayaran tanpa tunai ketika ini, dan wang tunai masih merupakan kaedah pembayaran yang paling kerap digunakan, namun, kekerapan penggunaan pembayaran tanpa tunai telah meningkat sejak 2021.
“Penggunaan transaksi tanpa tunai agak tinggi di Malaysia, didorong oleh pengguna yang lebih muda seperti Gen Z dan Gen Y yang mendahului peratusan pengguna yang memilih transaksi tanpa tunai.
“Malaysia dijangka menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang 2030, bermakna majoriti pengguna akan menggunakan kaedah tanpa tunai dan tidak lagi bergantung kepada tunai untuk transaksi harian mereka,” kata kajian itu.
Sumber : Berita Harian Online