Berita Terkini

Parlimen: Ekonomi Digital Sumbang RM413.3 Bilion Kepada KDNK 2022

Ekonomi digital telah menyumbang 23 peratus atau RM412.3 bilion daripada keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.8 trilion pada 2022, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini. Foto, Envato.

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Ekonomi digital telah menyumbang 23 peratus atau RM412.3 bilion daripada keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.8 trilion pada 2022.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus berbanding RM359.3 bilion pada 2021.
 
Jelas Gobind, negara kini berada di landasan yang baik untuk mencapai sekurang-kurangnya 25.5 peratus daripada keseluruhan KDNK menjelang 2025 disumbang oleh ekonomi digital.

“(Namun) kementerian menyedari bahawa proses untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital, beberapa cabaran yang perlu diatasi.

“Antara cabaran utama adalah keperluan pemikiran digital-first dan peningkatan penerimagunaan teknologi digital dalam sektor awam,” katanya pada Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu jelas Gobind, wujud juga keperluan membina ekosistem yang menyokong pendigitalan perusahaan tempatan membabitkan keperluan menyediakan infrastruktur jalur lebar dan teknologi digital yang berkualiti.

Sementara itu Gobind berkata, bagi menyediakan peluang kepada rakyat termasuk golongan di luar bandar untuk memanfaatkan ekonomi digital, kementerian melalui agensinya, Malaysia Digital Economy Digital (MDEC) telah melaksanakan program-program pembangunan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang ekonomi digital.

“Program-program yang telah dilaksanakan oleh MDEC sebelum ini yang masih diteruskan adalah seperti Program eRezeki yang menyediakan platform digital bagi membantu memprofil, melatih dan memadankan golongan B40 dan M40 dengan peluang-peluang tugasan atau pekerjaan daripada platform-platform digital yang mengguna pakai model ekonomi gig dan ekonomi perkongsian.

“Sehingga Disember 2023, seramai 420,636 individu telah dilatih dan sebanyak 1,041,888 orang telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2.03 bilion,” katanya.

Menerusi program Global Online Workforce (GLOW) yang merupakan sub program eRezeki pula, Gobind berkata, latihan dan bimbingan diberikan untuk memperkasakan kemahiran peserta agar mereka mampu menjana pendapatan bernilai tinggi secara online dan remotely.

“Sehingga Disember 2023, sejumlah 105,390 individu telah dilatih dan seterusnya berjaya menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM282 juta,” katanya.

 

Sumber : TVSarawak Online