Berita Terkini

Ekonomi Digital Buka 500,000 Peluang Pekerjaan Baharu di Malaysia

Gobind Singh Deo -NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Ekonomi digital mempunyai potensi besar untuk melonjakkan kedudukan Malaysia di persada dunia, sekali gus menjana pendapatan negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar

(KDNK) disasarkan akan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025 berbanding 23.3 peratus ketika ini.

Beliau berkata, pertumbuhan itu juga mampu membuka sehingga 500,000 peluang pekerjaan baharu yang secara tidak langsung membuka peluang kepada bakat digital tempatan.

Katanya, pembangunan digital telah membawa impak yang signifikan kepada kehidupan rakyat Malaysia dengan pendigitalan ekonomi membuka peluang yang lebih luas bagi mereka yang terbabit dalam aktiviti ekonomi secara lebih fleksibel dan inovatif.

Hal ini, katanya secara tidak langsung mengembangkan peluang kerjaya dalam sektor keusahawan dan gig di Malaysia.

“Melalui eUsahawan dan pekerjaan gig, rakyat Malaysia kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengembangkan potensi ekonomi mereka sendiri.

“Inisiatif ini turut menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi negara, seiring dengan transformasi digital yang berterusan.

“Saya percaya, pembangunan digital tidak hanya membuka pintu peluang, tetapi juga memberikan kebebasan kepada setiap lapisan rakyat untuk membabitkan diri secara aktif dalam landskap ekonomi yang semakin berubah,” katanya selepas merasmikan penutupan eUsahawan dan Gig Fest anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Rodzi Md Saad; Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Gobind berkata, ekonomi digital sememangnya memberikan kesan yang jelas kepada pertumbuhan landskap ekonomi secara menyeluruh.

Justeru, beliau berkata adalah perlu untuk semua pihak mengambil pendekatan secara digital dahulu

dalam melaksanakan sebarang inisiatif.

Katanya, pertumbuhan dan kemajuan ekonomi digital Malaysia secara inklusif selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan individu dan perniagaan, yang penting dalam memastikan nadi ekonomi negara terus terjaga.

“Oleh yang demikian, pembangunan bakat usahawan dan ‘freelancer’ gig melalui pendekatan digital dahulu perlu menjadi keutamaan .

“Gabungan usaha bersama MDEC membangunkan pelbagai program memainkan peranan penting dalam memacu dan memudahcara keusahawanan, selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan bahawa tiada

perniagaan yang diabaikan,” katanya.

Sementara itu, Mahadhir berkata, eUsahawan dan Gig Fest menjadi platform bagi memberikan pendedahan mengenai pencapaian program eUsahawan dan Global Online Workforce (GLOW) iaitu inisiatif yang memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi digital yang inklusif sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk memupuk budaya digital dengan melengkapi komuniti sasaran iaitu individu, graduan, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kemahiran literasi untuk berkembang maju dalam sektor ekonomi digital.

Katanya, program eUsahawan MDEC yang dilaksanakan sejak 2015 berjaya melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

Jelasnya, program itu tidak terbatas kepada latihan langsung dengan lebih 35 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah mengintegrasikan program ini ke dalam kurikulum mereka.

“Tahun ini, MDEC akan melatih 30,000 usahawan PMKS, pelajar IPT dan TVET dengan sasaran jualan berjumlah RM35 juta.

“Selain itu, 100 hab eUsahawan baharu akan diwujudkan di lokasi-lokasi strategik seluruh negara bagi membolehkan usahawan tempatan mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital yang lebih cekap.

Sumber : Berita Harian Online