Berita Terkini

FAMA Sasar Nilai Jualan Tanpa Tunai RM50 Juta

ABDUL RASHID Bahri (dua dari Kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal kepada pemenang, Mohd. Shafiq Mazlan dan keluarganya pada Program Go Cashless@Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan tanpa tunai berjumlah RM50 juta pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, usaha terhadap pemerkasaan usahawan ke arah digitalisasi itu seiring dengan seruan kerajaan menerusi rangka tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan sasaran itu mampu dicapai apabila projek perintis yang diadakan pada hujung tahun lalu mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak, termasuk pelanggan.

“Projek Go Cashless yang dijalankan pada Oktober hingga Disember lalu di 18 outlet pemasaran FAMA di seluruh negara, iaitu 14 outlet Agrobazaar Rakyat dan empat outlet Pasar Tani Kekal berjaya merekodkan jualan bernilai RM6 juta, bersamaan 202,304 transaksi terhasil.

“Kita dapati penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan orang muda mencecah 80 peratus, manakala hampir 50 peratus pelanggan yang berusia turut menggunakan kaedah elektronik ini.

“Sehubungan itu, kita berhasrat untuk memperluaskan program ini di semua outlet pemasaran FAMA serta membabitkan semua usahawan berdaftar di seluruh negara dengan sasaran jualan sebanyak RM50 juta,” katanya pada Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Go Cashless@Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Mohd. Faizul Mohd. Salleh dan Pengarah FAMA Johor, Faidz Afizi Mohamed.

Abdul Rashid berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Paynet Network Malaysia Sdn. Bhd. (syarikat penyedia rangkaian pembayaran premier dan infrastruktur utama pasaran kewangan) bagi meningkatkan penggunaan gerbang pembayaran dalam talian.

Menerusi kerjasama itu, PayNet akan menyediakan sokongan teknikal untuk pelaksanaan program pemasaran, manakala FAMA menerusi rangkaian ruang pasaran di seluruh negara menyalurkan maklumat berkaitan transaksi data daripada usahawan melalui semua saluran pembayaran tanpa tunai.

Sempena program Go Cashless itu, turut diadakan Jualan Agro Madani yang menawar produk makanan asas seperti ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan, barangan runcit dan pelbagai makanan asas utama kepada pengunjung.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan sebanyak 5,000 pelaksanaan Jualan Agro Madani pada tahun ini melibatkan seramai 28,600 usahawan dan memanfaatkan 7.2 juta isi rumah dengan nilai jualan sebanyak RM57.5 juta.

 

Sumber : Utusan Malaysia Online