Berita Terkini

Lebih separuh rakyat Malaysia bayar tanpa tunai

Kaedah pembayaran bukan tunai menjadi pilihan rakyat Malaysia -NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Lebih separuh atau 51 peratus daripada rakyat negara ini menggunakan bayaran bukan tunai dalam tempoh tiga bulan yang lalu, demikian menurut Ipsos Malaysia.

Dalam laporan Ekonomi Bukan Tunai & Evolusi Pembayaran yang dikeluarkan oleh firma penyelidikan pasaran itu, selepas wabak COVID-19, berlaku sedikit penurunan dalam penggunaan kaedah pembayaran bukan

tunai pada tahun lalu, dengan sebahagian besar penduduk Malaysia didapati masih bergantung kepada wang tunai untuk urusan transaksi.

Namun, katanya separuh daripada rakyat Malaysia masih menggunakan pembayaran bukan tunai, dan e-dompet digunakan oleh satu perempat daripada penduduk negara ini.

Ia berkata, pemindahan wang secara dalam talian (35 peratus) dan kad debit (35 peratus) adalah kaedah bayaran bukan tunai paling popular dalam kalangan rakyat negara ini, diikuti oleh e-dompet (26 peratus) dan

sembilan peratus yang menggunakan kad kredit.

“Walaupun penggunaan pembayaran tanpa tunai mengalami penurunan, perbankan dalam talian dan kad debit tetap menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia. E-dompet kekal sebagai pilihan ketiga paling popular,” katanya.

Laporan itu juga mendapati, lebih ramai golongan muda melakukan pemindahan wang secara dalam talian dengan 39 peratus golongan berusia 18 hingga 24 tahun menggunakan kemudahan berkenaan dan 45 peratus daripada golongan berusia 25 hingga 34 tahun.

Katanya, secara keseluruhan, berlaku peralihan ke arah perbankan dalam talian dalam kalangan individu yang lebih muda, manakala penggunaan perbankan dalam talian dan e-dompet bagi individu kumpulan umur 25 hingga 44 menunjukkan penurunan.

“Bagaimanapun, berlaku sedikit peningkatan bagi penggunaan perbankan dalam talian dan e-dompet dalam kalangan mereka yang berumur 45 hingga 74 tahun,” katanya.

Ipsos Malaysia berkata, sejak 2021, terdapat trend konsisten pengguna e-dompet yang menggunakan maksimum dua aplikasi e-dompet yang berbeza.

Namun, katanya kekerapan penggunaan meningkat apabila satu perempat daripada mereka menggunakan e-dompet secara harian pada 2023.

Ia berkata, kegunaan utama e-dompet adalah untuk membayar tol dan tempat letak kereta, kedai makanan dan minuman serta penghantaran makanan.

“Penggunaan e-dompet untuk pembelian runcit berkurangan kerana orang ramai kembali membeli di kedai fizikal dan mungkin lebih cenderung untuk menggunakan wang tunai atau bentuk pembayaran lain.

“Sepanjang tiga tahun lalu, bilangan jenama e-dompet yang digunakan kekal stabil, menunjukkan bahawa orang ramai cenderung menggunakan maksimum dua jenama e-dompet.

“Touch ‘n Go kekal sebagai peneraju dominan dalam pasaran, manakala MAE menduduki tempat kedua, menarik minat hampir separuh daripada pengguna e-dompet,” katanya.

Ipsos Malaysia berkata, secara keseluruhannya, penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat Malaysia dijangka berterusan, dan lebih ramai orang dijangka akan menerima guna e-dompet sebagai saluran pembayaran utama dalam urusan harian mereka.

Sumber : Berita Harian Online