Berita Terkini

MDX Mahu Dijadikan Acara Tahunan, Perkasa Ekonomi Digital Negara

Fahmi ketika sidang media di Majlis Pelancaran MDX 2023 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meneliti untuk menjadikan MDX 2023 sebagai acara tahunan dalam usaha memperkasakan ekonomi digital di negara ini.

Beliau berkata, MDX juga berupaya menjadi daya tarikan bagi negara dari rantau Asia Tenggara untuk membawa syarikat-syarikat mereka membuka pavilion pada ekspo berkenaan.

“Ia akan menjadikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi bagi acara seperti ini di rantau Asia Tenggara. Ini adalah kali pertama kita mengusahakan program sebesar ini di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri MDX 2023 Grand Finale yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pelbagai acara berkaitan ekonomi digital turut diadakan sebelum ini termasuk di Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak dan Melaka sebagai usaha memantapkan ekonomi digital selain menerusi 18 acara sokongan oleh MDEC.

Acara kemuncak MDX 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini merangkumi pameran dan menampilkan barisan penceramah terkemuka dalam pelbagai industri yang akan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing melalui siri persidangan serta sesi jaringan strategik.

Malam Anugerah MDX 2023 akan turut diadakan bagi memberikan penghargaan serta mengiktiraf pencapaian cemerlang ekosistem teknologi digital tempatan yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Ia akan mengetengahkan penceramah futuris terkemuka dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Zack Kass; Ketua Asia Pasifik Zoom, Ricky Kapur; Penasihat Negara Pejabat Pelaburan Turkiye, Ahmed Emre Buyukkilic; dan Pengarah Pihak Berkuasa Peppol Jepun, Hiroyuki Kato.

Sumber : Berita Harian Online