Berita Terkini

Ekonomi Digital Malaysia Dijangka Sebesar RM325 Bilion Pada 2030

Pemerkasaan dalam sektor e-dagang boleh menjadikan ekonomi digital Malaysia berkembang -NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Saiz ekonomi digital Malaysia dijangka mampu mencecah AS$30 bilion (RM140 bilion) menjelang 2025 dan meningkat kepada AS$70 bilion (RM325 bilion) pada 2030, menurut laporan e-Conomy Asia Tenggara.

Laporan yang dikeluarkan bersama Google, Temasek dan Bain & Company itu turut menyatakan lonjakan ekonomi digital adalah dipacu kepada pemulihan dalam sektor perjalanan negara.

Pengarah Negara Google Malaysia, Samuele Saini, berkata perjalanan dalam talian adalah pemacu utama ekonomi digital Malaysia pada 2023 mencecah AS$4 bilion. 

Beliau berkata, sektor itu mencatatkan pertumbuhan terpantas merentasi sektor ekonomi digital sebanyak 49 peratus tahun ke tahun. 

Katanya, permintaan perjalanan keluar kekal tinggi, sekali gus mendorong pemulihan berterusan dan pertumbuhan jangka pendek dalam industri perjalanan digital.

Namun, katanya bagi mencapai sasaran 2030, faktor lain yang boleh menjadikan ekonomi digital Malaysia berkembang adalah pemerkasaan dalam sektor e-dagang kerana masih mempunyai banyak ruang untuk dipertingkatkan membabitkan pelbagai segmen keperluan pengguna yang lain seperti barangan runcit.

“Nilai dagangan kasar (GMV) Malaysia diunjurkan mencecah antara AS$45 bilion hingga AS$70 bilion menjelang  2030 dan kami telah melihat bagaimana kebangkitan semula sektor pelancongan dan tingkah laku digital pengguna dalam e-dagang dan penghantaran makanan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ini.

“Dengan pencapaian kemajuan yang baik oleh Malaysia dalam merapatkan jurang ketersambungan, menangani penyertaan digital di luar kawasan bandar boleh menjadi kunci dalam merungkai gelombang pertumbuhan seterusnya,” katanya ketika taklimat media e-Conomy Asia Tenggara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saini berkata, langkah memperluaskan penyertaan digital ke luar bandar diperlukan untuk membolehkan gelombang pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata, ketika ini juga sudah terdapat  kemajuan yang baik dalam perluasan digital, memasuki kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang ketersambungan. 

Katanya, peratusan isi rumah yang mempunyai akses internet menyaksikan peningkatan daripada 76 peratus kepada 97 peratus untuk bandar dan 49 peratus kepada 89 peratus untuk luar bandar, dalam tempoh 2015 hingga 2022. 

“Walaubagaimanapun, pengguna di luar kawasan utama berisiko menghadapi pelebaran jurang ekonomi digital apabila membabitkan penyertaan digital, pembabitan aktif dalam ekonomi digital melalui penggunaan produk atau perkhidmatan merentasi sektor,” katanya.

Saini berkata, lebih daripada 70 peratus daripada nilai transaksi ekonomi digital di Asia Tenggara dilakukan oleh 30 peratus pembelanja teratas dengan di Malaysia, pengguna bernilai tinggi (HVU) ini membelanjakan 5.3 kali jumlah yang dibelanjakan oleh bukan HVU dalam talian. 

“Lebih separuh daripada HVU tinggal di luar kawasan bandar, membuktikan bahawa peluang untuk perniagaan digital berkembang wujud di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Merapatkan jurang penyertaan digital adalah tanggungjawab kolektif semua pihak berkepentingan.

“Menghapuskan halangan, seperti isu bekalan dan keselamatan, boleh meningkatkan penyertaan bukan HVU dan membolehkan ekonomi digital Malaysia mencapai potensi penuhnya,” katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Bain & Company, Willy Chang, pula berkata walaupun berdepan dengan cabaran makroekonomi global, GMV Asia Tenggara mengekalkan trajektori menaik dan dijangka mencecah AS$218 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata, perolehan daripada ekonomi digital Asia Tenggara dijangka mencecah AS$100 bilion tahun ini, mencatatkan pertumbuhan lapan kali ganda dalam tempoh lapan tahun yang lalu.

Sumber : Berita Harian Online